iMaN OfficiaL

Sabtu, 26 Julai 2014



َلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ ُ

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

Bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan telah pun sampai ke penghujungnya dan akan meninggalkan kita. Bulan Ramadhan adalah bulan ujian. Seluruh umat Islam akan menempuh ujian di bulan tersebut dan dibulan Ramadhan ini juga kita dikejutkan dengan Nahas MH17 (Malaysian Airlines) yang terhempas akibat tembakan dari permukaan ke udara, ini adalah ujian yang paling besar buat ahli-ahli keluarga mangsa bahkan seluruh rakyat Malaysia. Ada segelintir yang berjaya menghadapi ujian itu dan ramai juga yang gagal. Sebaliknya ada juga sesetengah umat Islam yang enggan terus terlibat dengan ujian di bulan tersebut.

Dalam kita bergembira utk
untuk menyambut hari raya, janganlah kita lupa saudara seIslam kita jauh nun di Gaza,Palestin yang masih lagi dalam zon peperangan. Sama-samalah kita panjatkan doa kepada mereka yang dalam kesusahan serta kehancuran buat Israel Laknatullah. Janganlah mementingkan diri sendiri dengan bergembira di sini sedangkan masih ramai saudara seagama kita yang menderita di luar sana.


اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله ُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ وللهِ الْحَمْدُ...

Kini Aidil Fitri telah pun tiba. Kedatangan Aidil Fitri perlu disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana itulah tanda bahawa perjuangan melawan hawa nafsu di bulan Ramadhan telah berjaya. Namun demikian, ini bukanlah bererti bahawa perjuangan tersebut terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya amalan-amalan baik yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan wajar diteruskan dan amalan yang haram ditinggalkan.

Marilah kita menyambut hari raya ini dengan cara yang sederhana tetapi penuh dengan rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T. dan mengharapkan keberkatan daripada-Nya. Janganlah pula kita korbankan kesan didikan daripada puasa itu dengan kembali mengikut hawa nafsu yang cenderung kepada perbuatan maksiat. Jiwa yang sudah dibersihkan, janganlah dikotorkan semula. Fikiran yang dijernihkan dengan bacaan Al-Quran, janganlah diracuni dengan kefahaman yang karut, perangai atau akhlak yang sudah dipulihkan, janganlah dirosakkan pula kerana dorongan syaitan.

Semoga dengan bermulanya Syawal ini akan menjadi titik tolak dan azam kita untuk meneruskan segala amalan yang baik samada berupa ibadat ataupun perkara-perkara kebajikan.

Aidil Fitri menurut perspektif Islam merupakan hari yang berkat dan hari yang hanya dikhususkan bagi kaum Muslimin dan merupakan salah satu syiar Islam. Bagi orang yang telah dapat menyempurnakan ibadat puasa selama sebulan dengan sebenar-benar puasa sudah tentu akan bergembira dan bersyukur dengan kedatangan satu Syawal kerana hari raya adalah hari menerima ‘hadiah’ atau ganjaran daripada Allah S.W.T. khusus bagi mereka yang benar-benar beramal di bulan Ramadhan sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis Nabi S.A.W. yang diriwayatkan daripada Saad bin Aus Al-Ansari daripada ayahnya R.A. baginda bersabda yang maksudnya:

"Apabila tiba Hari Raya Fitrah, berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru, pergilah wahai kaum Muslimin menghadap Tuhan yang Maha Pemurah yang memberikan kebajikan dan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan Qiamullail, maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya, maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati Tuhan kamu, maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru : ketahuilah bahawasanya Tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari Al-Jaizah (hari mendapat ganjaran)".

Sebenarnya hari raya Aidil Fitri dirayakan kerana meraikan kejayaan orang yang telah berjaya berhadapan dengan ujian di bulan Ramadhan. Dengan kejayaan tersebut, mereka layak menerima anugerah daripada Allah S.W.T. Walaupun hadiahnya tidak berbentuk sijil atau syahadah dan tidak disampaikan di atas pentas dewan pada pagi hari raya, tetapi anugerah tersebut tetap tersimpan untuk diserahkan di pentas hari akhirat kelak.

Kullu 'am wa antum bi khair...
Taqaballahu minna wa minkum...
Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin!

Daripada Saya,
Muhammad Imaduddin Bin Ismail dan Seluruh Ahli Keluarga.

Sekian,
Assalamualaikum wbt.