Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ
ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi
Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi
Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti
baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang
dirahmati Allah,
Manusia diberi
pilihan oleh Allah SWT di dunia ini samaada dia memilih jalan yang lurus (jalan
yang benar) atau dia memilih jalan yang bengkuk.(jalan yang batil)
Allah SWT telah
mengutus para rasul dimuka bumi ini kepada setiap umat dengan membawa ajaran
suci dan mengajak manusia beriman dan mentauhidkan Allah SWT dan tidak
mensyirikkan-Nya dengan sesuatu. Setelah ajaran para rasul ini sampai kepada manusia maka manusia
sendiri akan bertanggungjawab di atas keingkarannya menerima kebenaran.
Firman Allah SWT
maksudnya : "Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan
Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya
terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya
kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang
boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa
usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami
mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)."
(Surah Al-Israa' (17) ayat 15)
Kalaulah Allah
perlakukan sebagaimana yang Dia kehendaki iaitu menyesatkan, mengapa pula Allah
SWT utuskan para rasul dan kitab? Apakah Allah SWT tidak pernah utuskan para
rasul? Sehingga manusia tidak tahu apa yang harus dilakukan atau harus
ditinggalkan?. Allah SWT ada menyatakan bahawa Dia tidak akan mengazab sesiapa
selagi belum diutuskan para rasul.
Dalam al-Quran ada
diberitahu bahawa tidak ada satu kaum pun yang tidak diutuskan rasul.
Firman Allah SWT
maksudnya : "Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Agama) yang benar,
sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi
amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun
melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan
amaran.
(Surah Faatir (35)
ayat 24)
Sahabat yang
dimuliakan,
Pada zaman Saidina
Umar Ibnul Khattab menjadi khalifah seorang pencuri telah tertangkap ketika
mencuri, lalu dihadapkan ke hadapan Umar untuk diadili.
Saidina Umar
al-Khattab r.a. bertanya : "Kenapa
kamu mencuri?"
Lalul dijawab oleh
pencuri; "Ya Amirul Mukminin! Aku mencuri kerana Allah telah takdirkan aku
mencuri, lalu aku mencuri".
Umar pun
memerintahkan sahabat supaya memotong tangan orang ini dan menyebatnya. Pencuri
tidak puas hati dan bertanya : "Mana ada hukuman seperti ini di dalam
al-Quran? Dalam al-Quran hanya ada perintah potong tangan"
Saidina Umar r.a menjawab:
"Potong tangan kerana kamu mencuri dan sebat kerana kamu berdusta terhadap
Allah, kamu jadikan qadar dan qada sebagai alasan (menyalahkan takdir
Allah)".
Perkara yang sering
kita dengar: Bila orang berjaya dalam satu-satu perkara seperti dalam perniagaan
bila ditanya sebab-sebab berjaya dia kata dia telah berusaha bersungguh-sungguh
dan membuat pengurusan yang baik, tetapi bila mendapat muflis dia akan kata nak
buat macam mana sudah takdir.
Begitu juga orang
yang sihat, bila ditanya apa formula dia sihat maka dia akan jawab, dia jaga kesihatan dengan
menjaga makanan, bersenam dan macam-macam lagi. Bila sakit dia akan kata nak
buat macam mana sudah takdir. Ucapan tersebut seolah-olah bila berlaku sesuatu
yang tidak baik akan di nisbahkan kepada Allah SWT (Maha Suci Allah daripada
berbuat begitu), jika terdapat kebaikan dinisabhkan pula kepada diri sendiri.
Baik dan tidak baik
semuanya ketentuan Allah SAW. Manusia kena buat pilihan. Penjelasan Umar
dalam kisah di atas adalah tentang
membuat pilihan. Dua-dua qada Allah SWT, jika dinisbahkan perkara tidak baik
kepada Allah SWT; itu adalah satu pendustaan terhadap Allah SWT. Lihat dalam
ayat di bawah:
Firman Allah SWT
maksudnya : "Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka
melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk
nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya".
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali
menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap
Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?" (Surah al-A'raaf (7) ayat 28)
Allah SWT beri kita
kemampuan untuk melakukan perkara-perkara yang diperintahkan.
لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ
نَفۡسًا
إِلَّا
وُسۡعَهَاۚ
Maksudnya :
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
(Surah al-Baqarah
ayat 286)
Dengan sebab itu,
apabila Allah SWT memberi kita tanggungjawab atau tugas maka Dia Maha
Mengetahui bahawa kita berkemampuan untuk melakukannya kemudian diberi pula
kebebasan untuk memilih maka apabila
berlaku perkara-perkara yang tidak elok kita perlu menyalahkan diri kita
sendiri (kerana kelemahan dan kejahilan kita).
Sahabat yang
dikasihi,
Pepatah melayu ada
menyatakan :"Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih" Jika kita
berhajat kepada kebaikan, mendapat rahmat dan reda daripada Allah SWT di dunia
dan akhirat maka kitalah yang harus berusaha untuk mendapatkannya. Janji Allah
SWT sekiranya para hamba-Nya ketika di dunia beramal ibadah, amal soleh,
berakhlak mulia dan tidak mensyirikkan-Nya maka balasannya adalah syurga seluas
langit dan bumi.
Oleh itu kalian
perlulah "tepuk dada tanya iman dan mata hati kalian" jika kalian tunaikan
semua hak yang wajib kalian tunaikan di dunia ini maka hasilnya kalian sendiri
yang akan memperolehinya bukan orang lain, sebaliknya jika kalain leka, lalai
dan abaikan amanah ini maka azab dan penderitaan yang berpanjangan akan
diterima di akhirat nanti. Pilihan yang tepat ada ditangan kalian insya Allah.