iMaN OfficiaL

Jumaat, 29 Oktober 2010

Apa Itu Cinta?


Maha suci Allah yang mengurniakan pelbagai kenikmatan kepada sekalian hamba-Nya. Allah Maha Mengetahui yang mengurniakan cinta kepada kalangan manusia. Hidup manusia tidak terasa lengkap tanpa kehadiran cinta. Itu satu hakikat dengan fitrah insan yang sentiasa ingin disayangi dan menyayangi.


Allah tidak melarang hamba-Nya bercinta. Malah, Dia yang mengurniakan perasaan itu dalam hati setiap manusia. Beruntunglah bagi sesiapa yang menyucikan cinta. Cinta nikmat bagi hati setiap insan. Tanpa cinta, manusia akan terus hidup dalam kesakitan dan kesukaran. Tanpa cinta, manusia akan saling benci membenci. Manusia akan hilang perikemanusiaan. Manusia akan sanggup menyakiti insan lain demi mencapai kepentingan diri. Justeru, sucikanlah cinta dan suburkanlah perasaan itu dengan takwa kepada Yang Maha Esa.


Cinta yang ditafsir sebagai kasih dan sayang, dianugerahkan sejak awal penciptaan manusia. Ketika Nabi Adam di dalam syurga yang penuh kenikmatan, masih terasa ‘kekosongan’ di hatinya. Lantas, Allah Yang Maha Mengetahui, segera menciptakan seorang perempuan, Hawa bagi mengisi kekosongan tersebut. Maka, terisilah keresahan dan kekosongan yang sebelum ini membelenggu jiwa Adam. Jelaslah, cinta sudah bermula sejak di syurga. Tanpa cinta, pasti akan ada kekosongan dalam jiwa manusia.


Syurga adalah matlamat setiap manusia yang beriman. Allah menjanjikan syurga kepada mereka yang mengamalkan segala perintah-Nya dan meninggalkan apa dilarang. Orang yang layak menghuni syurga adalah mereka dalam kalangan yang baik-baik iaitu para rasul, nabi, siddiqin, syuhada dan solihin. Pahala adalah mahar untuk memasuki syurga. Justeru, cinta juga boleh dijadikan alat untuk mencapai hasrat itu. Jadilah kita insan yang baik-baik agar tergolong dalam kalangan penghuni syurga.


Cinta dilahirkan di tempat baik (syurga), dianugerahkan Yang Maha Baik (Allah), dinikmati kali pertama oleh orang yang baik (Nabi Adam AS) dan diwariskan kepada orang-orang yang baik (para solihin). Cinta lahirnya di syurga dan akan berakhir di syurga.


Bercinta kerana Allah


Cinta sesama manusia hanya alat untuk mencapai cinta Allah. Untuk menjaga kesucian cinta, jadikan cinta Allah sebagai dasar untuk mencintai manusia. Cinta adalah ‘hadiah’ daripada Tuhan. Maka, kita perlu menghargai cinta dengan mendahulukan ‘pemberi’. Cinta bukanlah pendahulu bagi segala-galanya. Jangan taasub dengan cinta hingga merana jiwa dan lupa daratan.


Peliharalah cinta kerana Allah. Sucikan cinta dengan perkara-perkara disukai Allah. Berkasih sayang sesama manusia kerana Allah. Bagaimanapun, jangan biarkan cinta pada manusia mendahului cinta pada Allah.


Sayangnya, dunia hari ini terlalu disemai dengan cinta abadi sesama manusia. Manusia yang sanggup lupakan keluarga dan sanggup mati kerana cinta. Manusia yang lumpuh seluruh jiwa kerana cinta. Sedangkan, Allah sepatutnya menjadi yang pertama dalam meraih cinta. Cinta sekadar alat pelengkap kekosongan jiwa, namun ia bukanlah segala-galanya.


Jangan biarkan jiwa terus hanyut kerana kekecewaan dalam cinta. Bacalah al-Quran kerana anugerah ketenangan jiwa dengan mengamalkannya adalah cinta daripada Allah. Seperti mana firman Allah:


"Kami turunkan daripada al-Quran penawar-penawar dan rahmat bagi orang mukmin"
(al-Isra’: 82)



Begitu juga dengan amal ibadat lain. Jangan diabaikan kerana kita perlu cintai Allah melebihi segala-galanya. Ini termasuk mendirikan solat kerana menerusinya, kita mampu menghindarkan diri kita daripada ingkar terhadap ketentuan Allah dan dikurniakan ketenangan dalam hati.



Sentiasa menjaga peraturan cinta



Sebagaimana kurniaan lain, cinta dicetuskan dengan beberapa peraturan. Peraturan inilah yang mendorong manusia agar berada di landasan yang benar. Tanpa landasan ini, manusia akan tersasar kerana mengejar cinta. Ia adalah syariat. Hukum halal (wajib), haram, sunat, makruh dan harus.


Jangan diabaikan yang wajib kerana cinta. Jauhilah yang haram kerana yang kemanisan dengan menempuh yang haram, maka akan berakhir dengan kepahitan. Bagi yang makruh dan harus, gunakanlah pertimbangan yang waras untuk melakukan atau meninggalkannya.


Pelihara cinta dalam rumah tangga



Cinta adalah ‘warisan’ Nabi Adam AS pada orang baik pada kemudian hari. Justeru, jadikanlah cinta sebagai alat untuk melakukan perkara yang baik-baik dalam rumah tangga. Sabar, reda dan mujahadah semasa menjalankan tanggungjawab dan peranan dalam melayari bahtera rumah tangga.


Tiada rumah tangga yang tidak dilanda badai. Maka, tempuhilah ujian itu dengan penuh sabar dan ketenangan. Ingatlah, ujian datang tanda kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya. Semakin sayang Tuhan kepada kita, maka semakin hebat ujian diberi. Semuanya menuntut kesabaran dan ketakwaan.


Malah kecewa dalam bercinta di alam rumah tangga ujian kepada umat Islam selepas mengakui beriman kepada Allah. Hal ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:


"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta." (al-Angkabut: 2-3).



Contohilah Ummu Sulaim yang mengingatkan suaminya bahawa anaknya adalah ‘pinjaman’ daripada Allah dan apabila anak itu kembali ke rahmatullah, ertinya ia dikembalikan kepada pemiliknya (Allah).


Mungkin contoh itu terlalu sukar untuk diteladani, namun contohilah ketabahan mereka dengan memaniskan wajah, menahan kata-kata yang buruk dan bertindak sebaiknya ketika ujian melanda rumah tangga. Justeru, hadapilah setiap ujian dalam percintaan itu dengan tenang kerana yang terbaik sudah tentulah datangnya daripada Allah.

Put Yourself In Other


Bismillah...

Maksud firman Allah SWT :

" Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa..."
(al-Hujurat : 12)



Imam Fakhruddin ar-Razi menghuraikan pula dalam Tafsir ar-Razi apa yang disebut dengan sangkaan berdasarkan ayat di atas dengan berkata :

" Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad ( usaha bersungguh-sungguh memastikan kebenarannya) dan penyelidikan yang dalam "


Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam, dengan limpah dan rahmat serta izinNya bumi beredar, mentari bersinar, bintang begermelapan, bulan bercahaya, dan manusia meneruskan kehidupan. Selawat dan salam buat Rasulullah SAW, dengan nurnya alam diterangi, manusia disuluh kebenaran.


Seorang lelaki dari New York diajak untuk menghadiri satu majlis makan-makan oleh rakan Koreanya sempena satu majlis. Pabila dihidangkan dengan makanan yang pelbagai, bermangkuk-mangkuk dan berpinggan-pinggan, sehingga dia tidak tahu apa yang perlu dimakan dahulu, bahkan tanpa mengetahui apakah jenis makanan itu, ia hanya meminum air dan meminta diri untuk pulang. Setelah pulang, ia mengkhabarkan dan merungut kepada rakan-rakan yang lain bahawa makanan Korea langsung tidak sedap, tidak berkhasiat dan sangat celaru serta menyusahkan!


Jika diperhatikan, apakah kesilapan terbesar lelaki New York tersebut?...


Ya, ia tidak mahu menjadi dan meletakkan dirinya dalam masyarakat Korea itu, tanpa menyiasat dan bertanya, ia terus menghukum, sedangkan ia langsung tidak mengetahui bagaimana dan apakah keadaan yang sebenarnya.


Jika ia sudi meletakkan dan menyesuaikan dirinya dengan masyarakat Korea, maka ia akan mengetahui bahawa makanan-makanan itu tidaklah secelaru sebagaimana ia fikirkan, ia mempunyai peraturan dan cara makan yang tersendiri. Bahkan makanan Korea telah diakui secara saintifiknya ia adalah antara makanan kesihatan yang terbaik di dunia. Selain bahan bahannya, ia menitik beratkan seni penyediaan, prinsip asas iaitu lima warna, merah, hijau, kuning, putih dan hitam menjadi perkara yang perlu ada bagi setiap hidangan. Jika ia mengkaji lagi, makanan Korea menjadi berjenis-jenis itu adalah kerana sejarah seorang maharajanya yang terlalu teliti dalam soal makanan, maka tukang masak istana menyediakan makanan sedemikian rupa.


Sekarang, jika ia mengetahui betapa istimewanya makanan tersebut, adakah ia akan melepaskan peluang untuk mencuba? Adakah ia akan merungut? Atau adakah ia akan terus berasa jengkel?...


Qurra' yang dikasihi,


Hidup kita di dunia bukan seorang diri, bahkan dijadikan Allah berbilang bangsa untuk saling mengenali. Hakikat kehidupan, setiap hari kita akan berhadapan dengan pelbagai keadaan dan ragam manusia. Jika kita mengamalkan sikap untuk menghukum tanpa mengetahui apa yang sebenar, layaklah gelaran kera sumbang untuk diberikan. Kita tidak akan dapat menilai dan mengetahui apa yang sebenarnya jika kita hanya melihat kepada diri sendiri, setiap yang kita suka tidak semestinya disukai oleh yang lain. Inilah yang memerlukan kita untuk berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan dan sikap pihak yang lain, menyelami permasalahan dan situasi sebenar, barulah kita akan mengetahui punca sesuatu terjadi.


Maksud firman Allah SWT :

" Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal "
(al-Hujurat : 13)



Bukan sekadar dapat mengetahui lapisan atas permasalahan atau keadaan yang berlaku sahaja, bahkan bersikap meletakkan diri dalam situasi pihak lain juga membekalkan kita dengan pelbagai maklumat tambahan sebagai bonus, lihat saja contoh si lelaki New York tersebut, ia malah bakal memperoleh maklumat tentang sejarah makanan Korea jika di selidiki. Maklumat tambahan sedimikian akan menjadi nilai tambah untuk kita dalam mengenal dan membaca situasi, menyelesaikan permasalahan yang sebelumnya tersimpul, mengelakkan konflik dan sebagainya.


Dalam bersahabat, berjamaah, berorganisasi, tidak dapat tidak untuk kita berusaha meningkatkan kebolehupayaan dalam mengenal dan memahami situasi pihak lain. Jika ini tidak berlaku, pastinya konflik bakal timbul dan akan lahirlah sikap nafsi-nafsi. Melihat hanya diri sendiri yang betul dan hebat, memandang rendah pendapat yang lain, seolah-olah hanya kita yang diberi akal oleh tuhan. Sikap cepat menghukum, seolah-olah kita tahu segalanya tidak lain hanya akan membawa kepada kemudharatan, maka elakkanlah, yang demikian, usahakan apa yang dikatakan " Put Yourself in Other's Shoes "


Satu kisah Rasulullah SAW juga pernah disangka buruk sepertimana yang direkodkan dalam satu hadith sohih, maksudnya :


Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata : " Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah " ( Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi).

Baginda menjawab : " Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah."

Lelaki itu terus beredar dan Khalid al-Walid berkata : " Adakah perlu aku memenggal kepalanya " (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad)

Baginda menjawab : " Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat ".

Khalid berkata : " Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata sesuatu yang tidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)"

Baginda membalas : " Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka "

( HR : Bukhari & Muslim )








Lihat, bagaimana cara Rasulullah SAW, baginda sendiri tidak terus menghukum lelaki itu oleh kerana sifat manusia yang tidak mengetahui apa yang tersembunyi melainkan dengan izin Allah, apatah lagi kita yang biasa-biasa ini. Wallahu'alam...saya undur dulu.
Kau Tidak Bersendirian
www.murabbi.net





I


Saat kau bersendirian

Engkau tidak bersendirian

Sungguh! Saat kau bersendirian

Engkau tidak bersendirian

Allah dan para malaikatNya bersamamu

Syaitan dan jin memerhatimu

Maka masihkah kau merasakan kau bersendirian?

Lalu berbuat maksiat dan dosa

Apakah malumu luntur disimbah rasa aman tanpa pengawasan?

Sungguh! Saat kau bersendirian, engkau tidak bersendirian.




II


Demi Tuhan yang mencipta zarah yang kecil

Dia Maha Melihat dan Maha Mendengar

Tiada saat yang kau terlepas dari pengawasan

Dan dari catitan para malaikatNya

Benar dan pasti!

Tebalkan rasa malumu

Tinggalkan karat-karat noda

Kerana kau tidak bersendirian ketika kau bersendirian.

10 Ciri-ciri Lelaki Idaman Wanita..........


1. LELAKI YANG PRIHATIN -

Iaitu mendengar dengan teliti apa yang kami cakap bukan dengar dengan telinga yang kembang aje..dan bukan masuk telinga kiri keluar telinga kanan; sebab cara mendengar begitulah yang biasanya mendorong kaum perempuan jadi membebel, bila dah membebel, panjanglah ceritanya, lepas tu pandai pulak nak menuduh yang kami ni dj baru thr dot fm..kesalahan sendiri tak perasan..

2. LELAKI YANG MENJADI PENAWAR -

Iaitu yang rajin dan pandai memberikan kata-kata keramat untuk jadi penawar hati kami; walaupun kurang rupa; tidak mengapa, yang penting kaum perempuan ni sentiasa menghadapi kemungkinan untuk ditimpa sakit dari sakit mata sampai sakit jiwa raga jadi, hatinya amat perlu dijaga; dan hanya kata-kata manis lagi betul susunan nahunya yang datang dari mulut lelaki akan menjadi penawar segala bisa.

3. LELAKI YANG MEMBERI KEBEBASAN SEWAJARNYA -

Kebebasan tu bukan kebebasan yang melanggar batas-batas hukum, tapi memberi kebebasan yang berupa hak . Contohnya bila berada di dalam kedai perabot, kaum perempuan berhak untuk mengangkut sebanyak mana barangan yang dikehendaki, kecuali tey kedai tu..lelaki cuma perlu senyum saja. Jika hendak melarang pun, gunakanlah suara selembut bayu.

4. LELAKI YANG BERHATI-HATI -

Iaitu berhati-hati dan tidak mudah-mudah saja untuk mengeluarkan kritikan terutama tentang masakan kami. Sebab... ketahuilah ye.. apabila kaum perempuan itu memasak, mereka bukanlah memasak untuk dikritik atau dikomen itu ini, kalau mereka maukan begitu, tentulah mereka memasuki peraduan masakan. Jadi.. biarkanlah mereka sendiri yang mengaku makanan itu tak sedap. Lain daripada itu, sedap tak sedap..'pulun' aje le...!!!

5. LELAKI YANG WANGI -

Ini adalah seimbang dengan fitrah kaum perempuan yang memang dicipta sebagai makhluk yang cenderung kepada kecantikan dan kebersihan. Oleh itu, kaum lelaki wajar memberi perhatian akan perkara ini. Jagalah fizikal anda, elakkan B.O;apalagi yang kuku berkarat dan selekeh macam pelarian tak cukup kaki. Kalau nak markah lebih tinggi, kenakan wangi-wangian selalu, mandi dan berendamlah dalam botol minyak wangi.

6. LELAKI YANG PEMURAH -


Dalam erti kata yang lain, lelaki yang pemurah adalah yang sentiasa rela dan redha menyerahkan wang ke tangan perempuan. Bukan untuk dikuasai, tapi inilah cara paling baik untuk kaum perempuan, terutamanya kaum isteri untuk mengawal asap rokok yang disedut suami. Paling penting langkahnya pun tidaklah terlalu panjang dan matanya pun tidaklah terlalu liar untuk memandang perempuan-perempuan lain.

7. LELAKI YANG TIDAK KISAH -

Iaitu lelaki yang tidak ambil kisah sangat samada kaum perempuan ni nak memasak ke, nak membasuh ke, nak mengemas atau pun tidak bila di rumah tu. Malah, lelaki yang masuk dalam kategori lelaki tidak kisah ini adalah kaum lelaki yang memberi kelonggaran sepenuhnya kepada isterinya untuk menjadikan kedai makan sebagai dapur nombor dua mereka. Itulah yang menjadi idaman ramai wanita tu..!!

8. LELAKI YANG MEMBERI SOKONGAN PADU -

Inilah ciri-ciri lelaki yang amat diidamkan perempuan. kongan padu mereka adalah sokongan padu yang amat padat kepada kaum perempuan untuk memanjangkan masa-masa bersidang mereka dengan teman-teman atau jiran tentangga. Apabila mereka mula bersidang, lelaki yang menyokong dengan sepenuh hati tidak sesekali akan bertindak tegas atau mengacau biarpun perut mereka waktu itu sudah berkeroncong; mereka pandai membawa diri dan perut sendiri tanpa perlu menyusahkan isteri. Sungguh bertuah siapa yang memiliki dia kan...!!

9. LELAKI YANG CINTAKAN KEDAMAIAN -

Apabila seseorang lelaki itu bersifat cintakan damai, maka tenanglah hidup mereka bersama wanita pilihan. Contohnya, tidaklah lagi akan kedengaran perbalahan atau undian balik kampung siapa di musim-musim raya . Lelaki begini amat memahami dan sedar bahawa isterinya telah bertungkus-lumus menjaga anak dan jaga rumah jadi, sentiasa balik kampung isteri adalah hadiah terbaik. Cukuplah setengah hari setahun aje balik kampung sendiri; daripada tak balik langsung dan daripada bergaduh beramuk...lebih baik...beralah kan..

10. LELAKI YANG MENYERAHKAN KUASA VETONYA -

Inilah ciri lelaki yang menjadi buruan kaum perempuan..jika mereka sanggup menyerahkan kuasa veto ke tangan wanita..mereka akan menjadi lebih macho dan hensem daripada Brat Pitt atau Nicholas Cage di mata wanita . Kuasa Veto yang diserahkan itu adalah kuasa veto untuk menentukan samada lelaki yang jadi suami mereka tu boleh pasang 2,3,4 atau tidak. Selain itu wanita juga diberi kuasa veto untuk menentukan siapa kawan-kawan suami mereka; ini untuk pastikan suami tak terikut-ikut perangai yang tak elok. Dengan kuasa veto ini juga beerti kita, kaum wanita berhak sepenuhnya untuk meminta kaum lelaki membuat karangan bertajuk "BILA DAN DI MANA SAYA BERADA HARI INI" setiap kali mereka berhadapan dengan isteri , tunangan atau kekasih mereka.



"SESUNGGUHNYA..LIDAH WANITA ITU AKAN MENJADI SEMAKIN TAJAM APABILA LIDAH LELAKI MENJADI SEMAKIN BERCABANG!!!"


~Ya Allah sesungguhnya
Aku lemah tanpa petunjukMu
Aku buta tanpa bimbinganMu
Aku cacat tanpa hidayahMu
Aku hina tanpa rahmatMu~